Pengikut dan Ex-smgrian

Tuesday, December 29, 2009

Gambar-gambar menarik sekitar 2009


Pemandangan indah di Pulau Gaya, Sabah.


Masyarakat pribumi di Sabah.


Air laut yang jernih di Pulau Gaya, Sabah.


Gunung Kinabalu


Bunga Rafflesia


Air terjun di kaki Gunung Kinabalu.


Dua orang wanita dan ular sawa.

Thursday, December 24, 2009

Dr. Kotnis, wira India dan China


Dr. Dwarkanath Shantaram Kotnis mungkin tidak dikenali di Malaysia, namun namanya begitu disanjungi oleh masyarakat kedua-dua negara iaitu India dan China dan dijadikan sebagai satu simbol untuk keamanan dan juga persahabatan antara India-China.

Dr. Dwarkanath Shantaram Kotnis dilahirkan pada 10 Oktober 1910 di daerah Solapur, selatan Maharashtra, India.  Beliau dibesarkan dalam keluarga berketurunan Marathi.  Beliau melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan di Universiti Mumbai.

Pada tahun 1937, tentera Jepun telah menakluk China.  Jeneral Zhu De di China telah memohon kepada Jawaharlal Nehru untuk menghantar doktor daripada India ke China.  Dr. Kotnis antara 5 doktor India yang telah dihantar ke China untuk memberi rawatan dan bantuan perubatan kepada tentera-tentera China.  4 orang doktor tersebut kembali semula ke India manakala Dr. Kotnis membuat keputusan untuk menetap di China.

Pada mulanya Dr. Kotnis berkhidmat sebagai doktor beredar, memberi rawatan dan bantuan kepada kem-kem tentera China.  Namun tidak lama kemudian Dr. Kotnis telah menjadi pengarah di Bethune International Peace Hospital di Yan'an, China.

Pada tahun 1939, Dr. Kotnis telah menyertai Eighth Route Army yang diketuai oleh Mao Tse-tung.  Kehidupan tentera yang mencabar ditambah pula oleh tugas doktor yang perlu merawat tentera yang cedera tanpa henti, sedikit sebanyak telah memberi tekanan kepada Dr. Kotnis.  Akhirnya Dr. Kotnis meninggal dunia akibat epilepsi pada 9 Disember 1942 ketika beliau berusia 32 tahun. 


Tugu peringatan Dr. Kotnis di wilayah Shijiazhuang Hebei, China

Setahun sebelum kematiannya, Dr. Kotnis telah berkahwin dengan seorang wanita China bernama Guo Qinglan yang berkhidmat sebagai jururawat di Bethune International Peace Hospital.  Mereka dikurniakan seorang anak lelaki pada 23 Ogos 1942.  Anak tersebut dinamakan Yinhua yang bermaksud gabungan India (Yin) dan Cina (Hua).

Mao Tse-tung, bapa revolusi dan pengasas komunis di China telah memberikan ucapan sebagai menghormati jasa dan pengorbanan Dr. Kotnis.  Ucapannya berbunyi:

"pihak tentera telah kehilangan bantuan, negara telah kehilangan seorang sahabat.  Marilah kita sentiasa mengingati semangat dan pengorbanannya yang tidak mengira bangsa." 




Adegan dari filem Dr. Kotnis Ki Amar Kahani

Kisah pengorbanan Dr. Kotnis meninggalkan negaranya dan berkhidmat di negara asing telah diabadikan di dalam filem.  Pada tahun 1946, sebuah filem Hindi berjudul Dr. Kotnis Ki Amar Kahani telah diterbitkan.  Filem ini diarahkan oleh V. Shantaram di mana beliau sendiri telah melakonkan watak Dr. Kotnis.  Watak Qinglan pula dilakonkan oleh pelakon wanita Hindi popular ketika itu, Jayashree.

Pada tahun 1982, sebuah filem Mandarin berjudul Kē Dì Huá Dài Fū telah dibikin.  Lakon layar untuk filem ini ditulis oleh Huang Zongjiang yang menceritakan tentang kisah hidup Dr. Kotnis di China.

Sumber: Wikipedia

 

Wednesday, December 23, 2009

Serai Sate Kajang



Malam tadi aku merasa sate kajang di Restoran Serai Sate Kajang yang terletak di Medan Ipoh Bistari.  Jangan terkeliru dengan Sate Kajang Haji Samuri kerana Sate Kajang Haji Samuri adalah sate kajang yang original.  Serai Sate Kajang sekadar menumpang nama sate kajang sahaja.  Aku tidak pasti sama ada pemilik kedai ini memang berasal dari Kajang, Selangor atau disebabkan saiz satenya yang besar-besar maka sebab itu ia diberi nama sate kajang.

Bagaimanapun, layanan di kedai ini agak memuaskan walaupun aku pernah terbaca di dalam sebuah blog tentang teruknya layanan di kedai ini (biasalah, selalunya tentang kecepatan makanan dihidangkan, bila perut dah lapar dan hidangan lambat sampai mestilah banyak komplen kan, nak komplen buat sate sendiri la!)



Aku bersama ayah dan dua orang adikku.  Kami memesan 25 cucuk sate ayam (70 sen secucuk), ayah memesan kopi O, adikku masing-masing memesan air buah-buahan manakala aku memesan teh serai panas (memang best teh ni).

Jadi, kepada pengunjung-pengunjung yang baru sampai ke Ipoh, selain mencuba Sate Endut (dah tak berapa popular sekarang) apa kata berkunjung ke Serai Sate Kajang di Jalan Medan Ipoh 1E, Medan Ipoh Bistari (berhampiran Tesco dan McDonald's), kalau tak sedap jangan marah aku, selera masing-masing.

Monday, December 21, 2009

Air minuman osmosis berbalik



Masyarakat hari ini semakin prihatin terhadap kualiti air yang diminum.  Seringkali kita terdengar keluhan dan keresahan pengguna yang dipaparkan di akhbar tentang air paip yang keruh dan berwarna kekuningan.  Keadaan ini biasanya berpunca daripada karat dan kotoran yang terdapat dalam sistem saluran paip, terutamanya di kawasan perumahan yang lama.  Keadaan sedemikian telah memaksa pengguna untuk menggunakan penapis air untuk mendapatkan bekalan air yang bersih.

Penapis air terdiri daripada penapis air komersil dan penapis air yang dipasang di rumah atau pejabat.  Kedua-dua jenis penapis air ini mempunyai fungsi yang sama tetapi berbeza dari segi saiz dan kos.  Teknologi penapisan air yang popular masa kini adalah teknik osmosis berbalik (reverse osmosis).

Proses Osmosis Berbalik

Air paip membawa bersama-sama di dalamnya pepejal larut, pasir atau batu halus, bahan kimia serta mikro organisma yang lain.  Walaupun air yang disalurkan dalam paip telah dirawat di dalam loji rawatan, namun air tersebut telah tercemar dengan bendasing ketika berada dalam saluran paip.

Dalam proses osmosis berbalik, air yang keluar dari paip disalurkan kepada penapis air membran separa telap.  Penapis ini mempunyai liang yang amat kecil untuk membenarkan laluan molekul air dan molekul yang lebih besar tidak dapat menerusi liang ini.  Selepas proses penapisan air, air osmosis adalah bersih sehingga 99% ketulenannya (hampir sama dengan air suling).

Oleh kerana kotoran air ditapis oleh penapis air (membran separa telap), kotoran ini akan terperangkap pada penapis air dan lama-kelamaan akan bertimbun.  Ini akan menjejaskan proses pembersihan, iaitu kotoran ini akan larut semula ke dalam air yang dilaluinya.  Oleh itu penapis air perlu sentiasa bebas dari kotoran yang tersumbat dan hendaklah dibersihkan dengan kerap.  Kekerapan pembersihan penapis air bergantung kepada jenisnya, tetapi secara umum, pembersihan perlu dilakukan 3 hingga 4 bulan sekali.

Mesin air minum RO

Ramai orang kini lebih gemar membeli air RO daripada mesin air minuman RO yang banyak terdapat di kaki lima kedai, daripada memasang mesin tersebut di rumah kerana kos pembelian, pemasangan serta penyelenggaraan mesin adalah tinggi.

Air RO daripada mesin ini juga dijual dengan harga yang murah iaitu hanya 10 hingga 20 sen seliter.  Ini adalah jauh lebih murah berbanding membeli air RO yang telah dibotolkan yang dijual di sekitar 80 sen sehingga RM1.50 untuk 500ml.

Namun, isu yang perlu diberi perhatian ialah kualiti air yang dihasilkan oleh mesin air minuman RO ini.  Ia bergantung kepada beberapa faktor seperti kekerapan penyelenggaraan mesin dan lokasi pemasangan.  Berikut merupakan beberapa tip untuk memilih mesin air minuman RO yang lebih berkualiti dan selamat.

Panduan memilih mesin air minuman RO

  1. Sesetengah mesin air minuman RO mempunyai notis tarikh penyelenggaraan.  Oleh itu pengguna digalakkan supaya memeriksa notis tersebut sebelum membeli air daripada mesin berkenaan.
  2. Biasanya mesin menjual air minuman RO ditempatkan di kaki lima luar kedai.  Cuba bertanya kepada pekedai berhampiran tentang kekerapan penyelenggaraan yang dibuat oleh pembekal mesin tersebut.
  3. Jika tidak ada maklumat yang boleh diperolehi tentang mesin tersebut, sila telefon pembekal mesin tersebut.  Maklumat telefon pembekal mesin biasanya boleh didapati pada mesin tersebut.
  4. Adalah disarankan supaya membeli daripada mesin yang terletak di kawasan awam.  Ini kerana jika mesin tersebut terletak di kawasan yang jauh daripada penghuni berkemungkinan besar mesin-mesin di kawasan ini telah terbiar dalam tempoh yang lama atau tidak diselenggara lagi.
  5. Cuba elak daripada membeli air dari mesin yang kelihatan lama.  Ini kerana terdapat kemungkinan penapis air dan sistem saluran dalamannya yang telah berkarat.
  6. Selalu teliti dan peka kepada rasa dan keadaan air tersebut.  Sekiranya rasa air daripada sesuatu mesin itu agak berlainan ataupun tidak jernih, jangan membeli air dari mesin tersebut dan laporkan pada pembekal mesin.
  7. Sekiranya pembekal mesin tidak menjalankan tanggungjawabnya dengan menyelenggara mesin air minuman RO dengan kerap dan memastikan kualiti air yang dijual adalah bersih dan selamat, maka anda disarankan supaya melaporkannya kepada Kementerian Kesihatan Malaysia.

Sumber: Buletin Pengguna

Panduan membeli minyak wangi


Adakah anda sering menerima promosi minyak wangi terkemuka dengan tawaran harga yang sangat murah?  Awas: ia berkemungkinan besar adalah palsu.  Bagi pengguna biasa, adalah sukar untuk mengenal pasti dan membezakan minyak wangi yang palsu dengan yang tulen.

Kebanyakan minyak wangi palsu mempunyai pembungkusan yang amat menyerupai produk yang tulen, sama ada dari segi kotak luaran hinggalah kepada bentuk botol.  Pada hiduan pertama, minyak wangi palsu memberikan bau yang seakan serupa dengan yang tulen tetapi ia akan cepat pudar dan seringkali meninggalkan bau yang masam atau pahit.  Yang lebih membimbangkan ialah kandungan bahan yang digunakan dalam pembuatan minyak wangi palsu itu yang berkemungkinan besar boleh membahayakan kesihatan pengguna.


Tip-tip untuk memilih minyak wangi tulen

1. Tempat jualan
Minyak wangi palsu sering dijual di tempat-tempat seperti kaki lima, pasar malam dan gerai-gerai di tepi jalan.  Tempat yang paling baik dan terjamin untuk mendapatkan miyak wangi tulen adalah di kaunter-kaunter runcit esklusif yang menjual jenama-jenama yang terkenal yang biasanya terdapat di pusat membeli-belah terkemuka.

2. Harga
Minyak wangi tulen secara amnya adalah produk yang mahal, yang biasanya berharga ratusan ringgit untuk satu botol yang kecil.  Oleh itu, jikalau terdapat jenama-jenama terkemuka yang dijual dengan harga puluhan ringgit sahaja, maka berkemungkinan besar ia adalah minyak wangi palsu.

3. Pembungkusan
Pembungkusan untuk minyak wangi palsu biasanya adalah lebih kasar dan tidak jelas.  Semasa membeli minyak wangi yang biasa anda gunakan, sebaik-baiknya bawa bersama kotak minyak wangi tulen yang lama untuk memeriksa ketepatan ejaan, logo jenama, gambar dan huruf-huruf cetakan halus (fineprint).

4. Kandungan
Ambil perhatian tentang kandungan minyak wangi dengan menelitikan warna dan keadaan fizikal minyak.  Ia sepatutnya jernih dan tidak terlalu berminyak.

5. Bau
Minyak wangi tidak sepatutnya berbau masam atau pahit.  Anda boleh semburkan sedikit atas serpihan kadbod kecil dan biarkannya selama sekurang-kurangnya setengah jam.  Minyak wangi palsu akan semakin pudar baunya berbanding dengan minyak wangi yang tulen.

6. Jaminan penjual
Pastikan penjual memberikan jaminan 100% ketulenan minyak wangi yang dibeli dan (kebiasaannya sijil ketulenan daripada pengeluar akan disertakan bersama) dan juga polisi pulangan (return policy) sekiranya anda tidak berpuas hati dengan produk yang dibeli.

7. Pembelian menerusi internet
Sekiranya anda membeli menerusi internet, perkara pertama yang harus diperhatikan adalah keselamatan proses pembelian yang terpapar pada URL anda (terdapatnya huruf 's' dalam 'https' dan juga satu ikon mangga kunci dalam pelayar internet anda).  Pastikan juga penjual mempunyai alamat dan nombor telefon kedainya dan ketahui juga bagaimana cara untuk membuat pembatalan dan pulangan balik (product refund) sekiranya produk tersebut tidak memuaskan anda.

Sumber: Buletin Pengguna, New Zealand Consumer Association

HANRUH


HANRUH merupakan singkatan bagi Pertahanan Menyeluruh yang merupakan suatu konsep pertahanan yang menggemblengkan peranan aktif agensi-agensi kerajaan, sektor swasta, badan-badan bukan kerajaan (NGO) serta rakyat jelata dalam mempertahankan kedaulatan dan keutuhan negara.

HANRUH turut menekankan supaya kesinambungan peranan mempertahankan negara bukan terletak di bahu anggota keselamatan semata-mata tetapi meliputi anggota masyarakat keseluruhannya.

HANRUH telah diperkenalkan pada tahun 1986 dan telah dijadikan sebagai salah satu prinsip asas di dalam Dasar Pertahanan Negara yang mengandungi lima komponen teras iaitu:



1. Kesiapsiagaan Keselamatan
Merangkumi kesiapsiagaan tentera dan polis melindungi nyawa dan harta benda serta memelihara keselamatan awam.  PDRM sebagai teraju utama semasa aman berupaya menjalankan tanggungjawab dengan penuh komitmen dan berdaya juang melalui kemahiran serta disiplin yang tinggi.

2. Penyatuan dan Perpaduan Masyarakat
Bangsa Malaysia perlu utuh dan bersatu padu serta hidup harmonis tanpa mengira perbezaan status, kaum, agama, budaya dan negeri.  Kemantapan integrasi nasional, integrasi budaya dan tanpa perbezaan wilayah dapat merealisasikan keutuhan Malaysia.  Bagi melahirkan semangat penyatuan dan perpaduan dalam kalangan masyarakat, mereka perlu mengamalkan sikap penyayang, toleransi, sikap permuafakatan, berkongsi matlamat dan wawasan yang sama serta mengamalkan nilai-nilai yang murni dan bermaklumat.


3. Kesiapsiagaan Awam
Kesiapsiagaan awam membawa maksud kesediaan agensi-agensi awam, pihak swasta, pertubuhan sukarela dan orang awam dalam mengadakan kemudahan perlindungan nyawa dan harta benda mereka dan negara dari bencana peperangan.  Selain itu, mereka perlu melibatkan diri dalam usaha-usaha pembekalan kemudahan asas yang berterusan di dalam keadaan perang, darurat dan bencana.

4. Daya Tahan Ekonomi
Ketahanan ekonomi membawa erti kerajaan dan swasta di semua sektor ekonomi berganding bahu dan bersatu untuk memastikan kemampuan dan kekuatan ekonomi negara terus mantap di masa aman serta berupaya membantu keperluan pertahanan dalam menghadapi perang dan darurat.  Bagi memenuhi keperluan ketahanan ekonomi, tumpuan akan diberikan kepada usaha penyimpanan stok bahan-bahan perlu dan memastikan kemudahan pengangkutan, tenaga dan sumber air tidak tergendala atau terancam semasa peperangan.



5. Keutuhan Psikologi
Kekuatan psikologi bermaksud kekuatan mental yang menunjukkan komitmen dan keyakinan yang padu terhadap kedaulatan dan pertahanan negara.  Bagi membina bangsa Malaysia yang memiliki keutuhan psikologi, mereka perlu memupuk sifat-sifat mulia seperti berani dan sanggup berkorban demi rasa cinta kepada negara, bijak memainkan peranan semasa aman dan darurat di samping mengamalkan nilai-nilai agama dan moral yang tinggi.  Selain itu sebagai bangsa yang berpendirian, mereka tidak mudah terpengaruh dengan dakyah musuh serta memiliki jasmani yang cergas lagi berdisiplin.


Sumber: Majalah Sinar Mentari

Batu Bertenggek


Replika Batu Bertenggek

Batu Bertenggek merupakan seketul batu besar, sebesar kereta Kancil yang diletakkan atas binaan lain berhadapan dengan bangunan SKOMK.  Batu Bertenggek ini merupakan Tugu Peringatan bagi perajurit yang terkorban dalam masa Perang Dunia Kedua.

Sumber dan imej: Laman Web Majlis Perbandaran Teluk Intan

Loghat Perak 47

Gila sepeghe

Maksud: perasan

Contoh ayat: "Apa ke hey miker Chor, pantang puji sikit udah gila sepeghe".

Ayat moden: "Kenapa dengan kamu ni, Chor, pantang dipuji sikit, mulalah perasan".


Beda'ah

Maksud: tipu, bohong

Contoh ayat: "Miker usah le buat beda'ah Yob, mana peghonah Perak menang tiga piala dalam Liga Malaysia?"

Ayat moden: "Kamu janganlah menipu, Perak tak pernah menang tiga piala dalam Liga Malaysia".


Ketegor

Maksud: disampuk

Contoh ayat: "Si Yob ketegor gamaknya balik daghi hutan tadi, ate mintak miker tolong panggeykan Ustaz tolong nengok-nengokkan".

Ayat moden: "Yob disampuk agaknya ketika pulang dari hutan tadi, tolong panggilkan Ustaz untuk sembuhkannya".

Sumber: Sinar Harian

Kampar


Pekan Kampar (imej dari www.asiaexplorer.com)

Pekan Kampar terletak kira-kira 40 kilometer dari bandar Ipoh dan 16 kilometer dari pekan Tapah.

Kampar adalah tempat persinggahan bagi perjalanan antara utara dan selatan, selain merupakan bandar terakhir di daerah Kinta, kerana ke selatannya ialah daerah Batang Padang dan Hilir Perak.  Utaranya pula ialah pekan Gopeng dan selatannya ialah pekan Tapah.

Penerokaan dan penempatan awal Kampar mempunyai kaitan dengan penemuan bijih timah, maka tidak hairan jika ada pendapat yang mengatakan Kampar dibangunkan di atas bijih timah.

Dilihat dari sudut geografi dan geologi, Kampar terletak dalam lingkungan Lembah Kinta.  Kedudukannya seperti dalam kawah di penghujung barat kaki Gunung Bujang Melaka yang disaliri oleh Sungai Keranji dan Sungai Kampar.

Sungai-sungai itulah yang memendapkan tanah dan batu-batu kecil kelikir mengandungi logam timah di tebing dan dasarnya.  Proses ini telah berlaku berjuta-juta tahun dahulu, menjadikan kawasan itu kaya dengan longgokan bijih timah.

Sehingga kini masih terdapat tinggalan bekas-bekas lombong di sekitar daerah Kampar malah ada sesetengahnya dijadikan kolam ternakan ikan penduduk.

Pada peringkat awal, aktiviti perlombongan di Kampar dijalankan secara mengorek lubang-lubang kecil untuk mendapatkan tanah mengandungi bijih dan mendulangnya di tebing-tebing Sungai Keranji serta Sungai Kampar.

Bagaimanapun kedatangan orang Eropah telah menambahkan kepesatan kegiatan ekonomi perlombongan bijih timah di situ, apabila mereka memperkenalkan melombong cara pam palong dan kapal korek.

Kedua-dua cara perlombongan itu boleh mengeluarkan hasil bijih timah dalam jumlah yang banyak serta dapat menyumbangkan peluang pekerjaan kepada penduduk Kampar dan kawasan sekitarnya.

Kepesatan industri perlombongan di sini, mendorong kedatangan orang-orang dari luar terutama orang Cina dari Tanah Besar China.

Sumber: Sinar Harian

Makan malam di Laksamana Cheng Ho


Pada malam Isnin 6 Disember lalu aku bersama anak dan isteriku berkesempatan untuk makan malam di restoran Laksamana Cheng Ho di Ipoh, Perak.  Turut bersama ialah kakak iparku, adik iparku bersama dua orang anaknya dan ibu serta bapa mertuaku.

Restoran ini terletak di 137, Jalan Sultan Abdul Jalil, Greentown merupakan cawangan untuk restoran utama Laksamana Cheng Ho yang terletak di 76, Persiaran Greentown 1, Greentown Business Centre.

Menariknya, restoran ini menggunakan banglo lama dan menyediakan masakan cina sebagai menu utamanya.  Restoran ini turut menyediakan masakan Melayu dan juga barat sebagai pilihan.

Selain daripada tempat untuk menjamu selera, restoran ini juga boleh dijadikan tempat untuk majlis-majlis tertentu seperti jamuan hari jadi, majlis pertunangan dan perkahwinan, kenduri doa selamat dan juga mesyuarat.

Di bawah adalah beberapa gambar yang sempat aku rakamkan sewaktu makan malam di restoran ini.



 
Sebelum dan selepas



 


Beberapa barang antik dijadikan pameran di perkarangan restoran Laksamana Cheng Ho


Ada plak cenderamata Jalan-jalan Cari Makan dari TV3.

Di dalam buku pelawat yang diletakkan di meja reception, terdapat beberapa komen dan tandatangan daripada selebriti dan VIP seperti Mahfuz Omar, Mukhriz Mahathir, Dr. Zambry Abdul Kadir, Zaibo, Maria Tunku Sabri dan Zizan Raja Lawak.

Untuk keterangan lanjut tentang Laksamana Cheng Ho, sila klik sini.

Mandi manda di Ulu Chepor



 

Thursday, December 17, 2009

10 tarikan pelancongan di Perak



Royal Belum

Royal Belum merupakan sebuah hutan dara yang luas dan merupakan salah satu kawasan hutan simpan terbesar di Semenanjung yang tidak pernah diterokai oleh manusia.  Hutan ini kaya dengan flora dan fauna yang mana banyak kawasan di sini belum pernah diteroka atau diganggu oleh kehadiran manusia malah bukan sahaja sebagai pintu gerbang tetapi rumah kepada khazanah alam semula jadi yang unik dan penting.  Kawasan hutan hujan Tropika yang sudah berusia lebih 130 juta tahun dan berkeluasan 300,000 hektar itu dihuni lebih 3,000 spesies pokok, 274 spesies burung, 168 spesies rama-rama, 100 spesies haiwan dan pelbagai spesies ikan darat serta terdapat beberapa suku kaum Orang Asli yang masih mengekalkan cara hidup primitif mendiami kawasan belantara itu.

Kredit gambar: www.pbase.com/alexfoong/image/83512447






Hutan Paya Bakau Matang

Perak mempunyai hutan paya bakau yang berkeluasan 40,000 hektar dan ia sering dikunjungi kerana kawasan tersebut kaya dengan hidupan liar pelbagai habitat.  Hutan Paya Bakau Matang merupakan ekosistem hutan paya bakau yang paling besar di Semenanjung Malaysia dan hutan ini meliputi kawasan sepanjang 50 kilometer bahagian pantai barat di utara negeri Perak dan 40 kilometer lagi di sepanjang pinggiran sistem sungai-sungai di dalam lima kawasan muara yang terlindung.  Sewaktu musim penghijrahan burung antara Ogos dan April setiap tahun, terdapat lebih dari 200,000 ekor burung dari kira-kira 50 spesies dijangka singgah di sini dan masa terbaik untuk memerhati burung ialah dari bulan September hingga Mac.

Kredit gambar: fireflyzone.blogspot.com/2009/06/matang-dan-kuala-sepetang.html




Gua Tempurung

Gua Tempurung yang merentasi 1.3 kilometer dipercayai telah dihuni oleh manusia seawal 8000 BC antara destinasi menarik yang wajar dikunjungi.  Gua ini dikatakan mempunyai gua batu kapur semula jadi terbesar di Semenanjung Malaysia dan ia terletak di kawasan Gopeng, 24 kilometer ke selatan Ipoh.  Gua ini membentuk lima bucu (dome) yang siling atasnya berbentuk tempurung kelapa, dengan setiap bucu mempunyai pelbagai bentuk stalagmit dan stalaktit serta bucu ini juga berbeza antara satu yang lain tergantung kepada suhu, paras air, kandungan batu kapur dan marmar.  Gua ini juga mampu memukau sesiapa sahaja yang mengunjunginya apabila terpandang kewujudan pelbagai bentuk arca seperti singa, naga, buaya dan ikan lumba-lumba yang terhasil dari proses geomoforlogi yang berlaku beribu-ribu tahun yang lalu. 

Kredit gambar: wikipedia




Taman Herba

Perak mempunyai daya tarikan terutamanya mereka yang berminat dengan herba di mana sebuah kawasan yang dahulunya bekas lombong terbiar telah diusahakan dan menjadi Taman Herba Negeri Perak.  Taman Herba ini menghimpunkan 525 spesies pelbagai jenis herba yang tersohor namanya dalam bidang perubatan dan farmasi dan terletak di kawasan seluas 22 hektar di Jalan Simpang Pulai-Gopeng.

Kredit gambar: pertanianmjg.perak.gov.my/bahasa/kandungan.htm




Kolam Air Panas Sungai Klah

Berkunjung ke Perak pasti lebih menarik apabila mengunjungi kawasan perkelahan untuk merehatkan badan dengan berendam di Kolam Air Panas Sungai Klah yang terletak di Sungkai.  Dibangunkan pada Disember 2003 di atas tanah rizab seluas 49.3 hektar dalam lingkungan Banjaran Titiwangsa dan berkedudukan 610 meter dari paras laut ini lebih dikenali di kalangan pelancong asing dan tempatan dengan nama Taman Rekreasi Air Panas (TRAP).

Kredit gambar: cheaptravel-shape.blogspot.com/2009/03/hot-spring-felda-sg-klah-sungkai-part-1.html




Pulau Orang Utan

Pulau Orang Utan terletak di dalam Bukit Merah Laketown Resort.  Pulau Orang Utan seluas 14 hektar digerakkan oleh Yayasan Pulau Orang Utan bagi memelihara haiwan itu selain memantau kelahiran anak Orang Utan dan sehingga kini, Pulau Orang Utan dilengkapi pelbagai kemudahan semula jadi bagi memastikan 24 haiwan itu hidup dengan selesa, seolah-olah di kawasan habitat semula jadinya.

Kredit gambar: shw.saiza8.fotopages.com/16803620/Ni-la-Pulau-Orang-Utan.html




Pulau Pangkor

Pulau Pangkor dengan kombinasi perkampungan nelayan yang mempersona serta tempat penginapan yang mewah merupakan destinasi percutian yang mengagumkan dan mudah dikunjungi. 

Kredit gambar: www.cuti.com.my/Sub/Perak/guide_pangkor.htm




Kuala Kangsar

Bagi mereka yang gemarkan seni bina dan hasil buah tangan masyarakat Melayu lama, mereka pasti akan terpegun apabila mengunjugi Masjid Ubudiah, salah satu masjid tercantik di Malaysia terletak di Bandar DiRaja Kuala Kangsar.  Daerah itu juga menyediakan banyak pameran menarik terutama sekali di Galeri Sultan Azlan Shah, Istana Iskandariah, kilang pembuatan labu Sayong dan pusat kraf tangan.

Kredit gambar: www.kemmotivasi.com




Tokong-tokong gua batu kapur

Perak juga terkenal dengan gua-gua batu kapur yang menarik dan didirikan tokong seperti Tokong Sam Poh Tong.  Sam Poh Tong ialah sebuah gua terkenal yang terletak di Gunung Rapat, kira-kira 5 kilometer ke selatan bandar raya Ipoh dan ia dikatakan tokong terbesar di Malaysia yang mempamerkan hasil seni yang mengagumkan.  Bahagian hadapan tokong yang ada sekarang telah wujud sejak tahun 1950-an dan tangga yang mempunyai 246 anak tangga ini akan membawa anda ke sebuah gua terbuka yang mempunyai pemandangan bandar raya Ipoh serta persekitarannya yang amat menarik.

Kredit gambar:  trifter.com/.../nine-famous-caves-of-malaysia

Sumber: Sinar Harian

Kampung Padang Tembak, Teluk Intan


View Larger Map

Sejarah Kampung Padang Tembak ini bermula kira-kira pada tahun 1960-an yang ketika itu hanya terdapat sebatang jalan tanah dari Jalan Batak Rabit ke Kampung Selabak.

Dalam dekad 60-an di kawasan perumahan yang wujud ini, kira-kira satu kilometer dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Abdul Aziz itu, terdapatnya sebuah lapang sasar atau padang tembak.

Walaupun penduduk yang tinggal di sebelah dalam sering dijatuhi peluru latihan ketika latihan dijalankan, mereka mendapati itu tidak membahayakan masyarakat di sini.

Sumber: Sinar Harian

Sejarah Taiping


Pekan Taiping sekarang (imej dari virtualtourist.com)

Bandar Taiping adalah ibu kota bagi daerah Larut, Matang dan Selama.

Sebelum tahun 1937, Taiping adalah ibu negeri Perak.  Nama lama Taiping ialah Klian Pauh.  Klian bermaksud lombong sementara Pauh pula ialah sejenis buah mangga bersaiz kecil.

Taiping bermaksud aman atau damai dalam bahasa Hakka.

Tercetus dari pertelingkahan puak pendatang negara China yang melakukan aktiviti perlombongan bijih timah di daerah Larut iaitu Ghee Hin dan Hai San, yang begitu ramai di Klian Pauh ketika itu.

Persatuan kongsi gelap dari dua puak ini bertelingkah kerana lombong bijih timah dan jalan air.

Setelah mendapat kata sepakat untuk berdamai, Taiping dipilih sebagai nama baru bagi bandar di daerah Larut.

Sumber: Sinar Harian

Mambang Diawan


View Larger Map

Mambang Diawan terletak di sebelah kiri bandar Kampar.  Sebagai sebuah kawasan bekas lombong bijih timah, kawasan ini kebanyakan diduduki penduduk berbangsa Cina.  Sebahagian bekas lombong ini telah ditebus guna atau dijadikan kawasan ternakan air tawar.

Mengikut mitos dan cerita yang dikhabarkan, seorang pegawai Inggeris, George Maxwell menyebut tempat ini sebagai Mambang Diawan kerana terdapat mambang atau bidadari yang turun dari Gunung Bujang Melaka.

Sebenarnya ia bermula dengan sekumpulan pelombong bijih timah yang telah bekerja keras sepanjang hari dan apabila mereka berehat, mereka ternampak bidadari di awan kerana keletihan.

Selain itu, terdapat juga maklumat lain berkaitan nama ini.  Menurut kajian ahli sejarah, Chye Kooi Loong pada 1886, seorang pemimpin Melayu berkaliber dan dinamik bernama Imam Prang Jabor adalah orang yang bertanggungjawab membuka perkampungan Melayu di hilir Sungai Keranji berdekatan pasar lama Kampar.

Perkampungan asal ini dikenali sebagai Mambang Diawan sempena nama Gunung Mambang Diawan yang bermakna 'Fairies Among the Cloud'.

Sumber: Sinar Harian

Monday, December 14, 2009

Elakkan kebakaran



Pada kebiasaannya, kita sering mengambil mudah tentang perlunya mematikan suis elektrik semasa meninggalkan kediaman kerana kebakaran mudah berlaku jika terjadinya litar pintas.

Biasakan diri mematikan suis elektrik sebaik selesai menggunakannya terutama peralatan yang berisiko menjadi penyebab kebakaran seperti pemanas air, seterika dan sebagainya.

Selain peralatan elektrik, lingkaran nyamuk juga mampu menjadi punca kebakaran jika ia diletakkan di tempat yang kurang sesuai seperti di atas kertas, tikar getah dan sebagainya kerana ia merupakan barang yang mudah terbakar.

Lebih membimbangkan apabila lingkaran nyamuk ini dipasang ketika hendak tidur kerana waktu itu sukar untuk kita menyelamatkan diri memandangkan dalam keadaan separuh sedar.

Jika hendak meninggalkan kanak-kanak di rumah, pastikan ada orang dewasa bersama di dalam rumah tersebut bagi mengelakkan kanak-kanak melakukan perbuatan yang boleh membawa musibah.

Kanak-kanak tidak boleh dibiarkan bersendirian di rumah tanpa pengawasan ibu bapa memandangkan sifat mereka yang ingin mencuba.

Peralatan atau barangan yang mudah terbakar perlu disimpan dengan baik dan pastikan juga ia tidak mampu diambil oleh kanak-kanak bagi mengelakkan mereka mencuba sesuatu yang boleh membahayakan diri mereka dan orang ramai.

Perkara yang paling penting untuk dielakkan sewaktu berlakunya kebakaran adalah kecederaan dan kehilangan nyawa kerana ia mampu memberikan kesan kepada mangsa atau waris yang terlibat dalam kebakaran.

Kemusnahan harta benda akibat kebakaran memang sesuatu yang menyedihkan tetapi ia masih boleh diganti tetapi jika kemusnahan itu melibatkan kehilangan nyawa, tiada galang gantinya.

Sumber: Sinar Harian

Aquaria

Pada 5 Disember lalu, aku dan keluargaku telah berkunjung ke Aquaria di Kuala Lumpur Convention Centre yang terletak berhampiran Kuala Lumpur City Centre (KLCC).

Sedikit latar belakang tentang Aquaria ini.  Lokasinya terletak di bahagian bawah Kuala Lumpur Convention Centre atau dalam bahasa Melayunya Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Luasnya meliputi 60,000 kaki persegi dan terdapat dua aras dengan terowong bawah air (underwater tunnel) sepanjang 90 meter.

Terdapat lebih 20,000 hidupan daratan dan air ditempatkan di sini.  Lebih dari 250 spesies haiwan berbeza dari dalam dan luar negara dipertontonkan di Aquaria.

Di bawah adalah beberapa imej yang sempat aku rakamkan sewaktu melawat Aquaria.  Disebabkan pengunjung tidak dibenarkan menggunakan 'flash' apabila mengambil gambar, maka imej yang diperolehi agak kabur sedikit.


Anakku teruja pertama kali menaiki LRT


Bergambar di pintu masuk Aquaria


Sekumpulan piranha sedang menikmati makanan tengahari


Belangkas, haiwan yang boleh didapati di air masin dan juga air tawar.  Dikatakan darah belangkas yang berwarna biru bernilai USD5,000 (RM17,500) seliter di Amerika Syarikat kerana terdapat bahan yang boleh dijadikan anti-virus dan anti-toksin.


Belut elektrik, sejenis belut yang mengeluarkan arus elektrik apabila dirinya diancam.  Dikatakan mampu mengeluarkan arus elektrik sehingga 500 Volts dan ada juga mencapai 650 Volts.  Renjatan elektrik daripada belut ini mampu membunuh manusia.


Ikan keli elektrik atau dikenali juga dengan nama Malapteruridae.  Terdapat dua jenis ikan keli seperti ini iaitu Malapterurus dan Paradoxoglanis dengan 19 spesies.  Ikan keli ini mampu mengeluarkan arus elektrik sebanyak 350 Volts.  Mereka menggunakan renjatan elektrik untuk melumpuhkan mangsa mereka.  Ikan keli jenis ini banyak didapati di Afrika terutama sekali di Sungai Nil di Mesir.




Ikan hidung gajah elektrik ataupun dikenali sebagai electric elephantnose fish (juga dikenali sebagai Peter's elephantnose fish).  Banyak dijumpai di Afrika di Sungai Ubangi.  Ikan ini mempunyai daya penglihatan yang lemah dan mampu mengeluarkan arus elektrik sekiranya diancam, namun tidak sampai membunuh manusia. (gambar yang di atas diambil di Aquaria manakala yang di bawah diambil dari Wikipedia)


Cicak iguana.


Cicak monitor Savannah (Savannah monitor lizard) yang banyak ditemui di Afrika.  Juga dikenali dengan nama Varanus atau Bosc's monitor lizard, sempena nama Louis Bosc, seorang saintis Perancis yang mula-mula sekali menemui spesies cicak ini.


Ular hijau atau dikenali sebagai Opheodrys yang banyak terdapat di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico. 


Ular punti yang merupakan ular pokok yang terbesar di Asia.  Ular punti dikategori sebagai ular berbisa walaupun bisanya tidak mendatangkan maut namun mampu memberikan kecederaan kepada tubuh manusia.


Alligator snapping turtle merupakan kura-kura air tawar yang paling ganas di dunia.  Ia dikatakan memakan hampir apa sahaja termasuklah buaya, ular dan kura-kura lain.  Kura-kura jenis ini banyak didapati di Amerika Syarikat dan Kanada.


Antara tarantula Malaysia yang terdapat di sini.  Aku tak ingat yang ini spesies apa, namun labah-labah tarantula memang banyak terdapat di hutan Malaysia terutama sekali di Taman Negara, Bukit Fraser dan hutan di Borneo.  Saiz tarantula Malaysia agak kecil sedikit berbanding tarantula daripada Brazil dan Amerika Selatan, namun tetap mempunyai sengatan berbisa.


Tarantula Brazil yang lebih besar.


Azhari asyik memerhatikan haiwan-haiwan air dan darat yang terdapat di sini.


Aku tak ingat nama binatang ini, saiznya sebesar kucing dan mukanya macam musang.


Seolah-olah mengambil gambar di jeti sebenar, padahal hanyalah ilusi optik.



Mencari nemo.


Penyu.


Sejenis siput.

Untuk keterangan lanjut tentang Aquaria anda boleh klik sini.